Apabila memilih produk penjagaan muka perkara pertama yang perlu ditanyakan pada diri ialah apakah jenis kulit wajah anda? Ramai yang masih belum pasti atau keliru dalam menentukan perkara ini dan akibatnya kebanyakan daripada kita sering tersalah memilih produk untuk penjagaan muka.
Kenapa penting untuk kita menentukan jenis kulit sebelum memilih produk muka?
Sangat penting untuk kita menentukan jenis kulit secara tepat kerana ianya bakal menentukan samada kulit akan menjadi lebih baik atau semakin bermasalah atau mungkin juga tidak mengalami sebarang perubahan lansung selepas penggunaan sesuatu produk. Anda tentu tidak mahu berbelanja besar untuk produk yang baik dan mahal tetapi akhirnya tidak mendapat pulangan yang menggembirakan daripada pelaburan tersebut. Lebih menyedihkan lagi, kulit bertambah teruk dari keadaan sebelumnya akibat dari tersalah pilih produk yang kurang bersesuaian dengan kulit.
Apakah faktor yang menentukan jenis kulit?
Secara prinsipnya jenis kulit kita ditentukan oleh tiga perkara utama:
- Kandungan air yang mempengaruhi kadar kelembapan
- Kandungan minyak yang mempengaruhi tahap elastisiti atau keanjalan
- Tahap sensitiviti kulit terhadap faktor luaran atau pemakanan
Perlu diketahui bahawa secara asasnya kulit kita banyak dipengaruhi oleh faktor genetik atau keturunan. Namun kebanyakan masanya ia boleh berubah mengikut faktor-faktor yang telah dinyatakan seperti di atas. Oleh itu, kulit boleh dikategorikan kepada 5 jenis yang utama seperti di bawah:
![]() |
Jenis Kulit Wajah |
- Jenis kulit NORMAL - Kulit normal biasanya mempunyai liang pori yang kecil, kelembapan yang sempurna, mempunyai elastisiti yang baik dan terasa anjal, tekstur kulit yang halus, warna kulit yang sihat serta jarang mendapat masalah jerawat. Walaupun kulit jenis ini dikatakan ideal dan sangat didamkan oleh semua, namun tidak ramai yang bernasib baik dapat memiliki kulit normal.
- Jenis kulit BERMINYAK - Kulit jenis berminyak pula memiliki liang pori yang besar dan jelas kelihatan. Hampir keseluruhan kulit muka terasa berminyak dan melekit, di samping tekstur kulit yang kasar dan tebal. Sel kulit mati dan minyak juga kerapkali menutupi liang pori menyebabkannya sering mengalami masalah jerawat. Ia juga akan kelihatan berkilat akibat minyak yang berlebihan. Namun begitu, di sebalik semua kelemahan ini kulit berminyak biasanya memiliki keanjalan yang baik.
- Jenis kulit KERING - Kulit yang kering mempunyai liang pori yang kecil dan mengalami kurang kelembapan. Teksturnya agak kasar dan nipis membuatkan kulit kelihatan seperti merekah dan berserpih. Kulit jenis kering ini sangat cenderung untuk mengalami masalah pigmentasi dan warna yang tidak sekata, dan lebih mudah mengalami penuaan dengan kedutan terutamanya di sekitar mata, mulut dan dahi.
- Jenis kulit KOMBINASI - Kulit kombinasi adalah gabungan kulit kering dan kulit berminyak. Kawasan zon T (sekitar dahi, hidung dan dagu) cenderung untuk menjadi berminyak
dan mempunyai liang pori yang besar, sedangkan kawasan pipi dan rahang adalah
kering atau normal dan mempunyai liang pori yang lebih kecil.
- Jenis kulit SENSITIF - Kulit sensitif adalah bersifat sangat reaktif dan sangat
mudah menunjukkan reaksi hipersensitif apabila ianya didedahkan kepada penggunaan
produk yang tertentu. Jenis dan tahap reaksi pula berbeza bagi setiap individu
dan amat bergantung kepada bahan alergen yang terkandung di dalam produk yang menjadi
penyebab berlakunya alergi. Biasanya kulit sensitif mudah mengalami iritasi dan
menjadi kemerahan, gatal-gatal atau menngelupas.
Jadi, yang mana satukah jenis kulit muka anda? Jom belajar teknik dan tips bagi menentukan jenis kulit anda secara lebih tepat di SINI.
Comments
Post a Comment